Tukar Jalan Eaton kepada Jalan Tun Hajah Rahah
Kerajaan mempertimbangkan untuk menukar nama Jalan Eaton kepada Jalan Tun Hajah Rahah dalam masa terdekat bagi menghargai jasa Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, semalam beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Ketua Setiausaha Kementerian supaya diambil tindakan kerana proses penukaran nama itu perlu melalui beberapa peringkat untuk kelulusan.
Menurutnya, beliau sudah menyampaikan cadangan itu untuk dipertimbangkan dan sedang menunggu laporan terperinci.
"Dalam laporan itu nanti akan menjelaskan mengenai adakah nama lama mempunyai sebarang kaitan warisan dan juga sejarah negara.
"Selain itu, nama baharu yang dicadangkan itu juga perlu mempunyai merit tertentu di mana dalam hal ini Jalan Eaton tidak mempunyai fakta sejarah terlalu besar dan kita juga tahu jalan ini bertemu dengan Jalan Tun Razak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau keadaan penduduk yang dilaporkan dalam keadaan daif di Blok C Flat Taman Segar Jalan Persiaran Lemak, Taman Segar Cheras, hari ini.
Annuar berkata, isteri bekas Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak itu mempunyai jasa besar kepada negara.
"Allahyarham membesar anak-anaknya bersendirian ketika berusia 40-an sehingga salah seorang menjadi Perdana Menteri keenam.
"Allahyarham sudah mendiami rumahnya di Jalan Eaton berpuluh lamanya dan saya fikir jawatankuasa boleh mempertimbangkan untuk menukar nama jalan itu," katanya.
Tun Rahah menghembuskan nafas terakhirnya pada petang Jumaat lalu dan dikebumikan di Makam Pahlawan dengan istiadat penghormatan negara semalam.
