Muhyiddin umum masih kekal jawatan Perdana Menteri
Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan beliau masih lagi Perdana Menteri yang mendapat sokongan ahli Parlimen setelah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi tadi.
Beliau menegaskan akan menentukan keabsahan dalam Sidang Parlimen September ini.
Beliau berkata demikian dalam satu pengumuman khas yang di siarkan sebentar tadi.
Muhyiddin kekal sebagai PM bergabung dengan Pejuang, Warisan?
Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan akan mengekalkan jawatannya sebagai Perdana Menteri jika ura-ura bahawa Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) bergabung dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) menjadi kenyataan.
Berdasarkan kepada analisis pemerhati politik gabungan ahli Parlimen tiga parti itu bersama dengan pecahan ahli Parlimen UMNO yang tidak menyokong tindakan Presiden mereka, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mampu mendapatkan majoriti untuk membentuk kerajaan.
Menurut mereka, berdasarkan kedudukan terkini kerusi Parlimen Pakatan Nasional (PN) masih ada 103 kerusi iaitu Bersatu (31), Pas (18), Star (1), PBS (1), serpihan UMNO (26), MCA (2), MIC (1), PBRS (1), GPS 18 dan bebas (4).
Gabungan ini kurang lapan kerusi untuk mendapatkan majoriti mudah iaitu 111 kerusi daripada 222.
Pakatan Harapan (PH) pula hanya ada 92 kerusi iaitu PKR (35), DAP (42), Amanah (11), PSB (2), Muda (1) dan bebas (1). Mereka memerlukan 19 kerusi untuk dapat majoriti mudah,
UMNO yang masih bersama Ahmad Zahid pula dikatakan hanya ada 12 kerusi.
Sementara gabungan Bersatu, Warisan dan UPKO mempunyai 13 kerusi.
Berdasarkan kepada angka-angka ini, kem Tun Dr. Mahathir Mohamad dikatakan bakal menjadi penentu dalam membentuk kerajaan.
Jika PN bergabung dengan kem Dr. Mahathir, maka mereka akan mempunyai 116 kerusi untuk membolehkan membentuk kerajaan,.
Jika PH bergabung dengan UMNO yang bersama Ahmad Zahid mereka hanya ada 104 kerusi gagal mempunyai majoriti mudah.
Jika PH mahu membentuk kerajaan mereka bukan sahaja perlu bergabung dengan UMNO (Ahmad Zahid) tetapi juga dengan kem Tun Mahathir.
Berdasarkan analisa ini kem Dr. Mahathir jelas menjadi penentu kepada percaturan untuk membentuk semula kerajaan selepas PN hilang majoriti ekoran tindakan Ahmad Zahid bersama 11 ahli Parlimen UMNO menghentikan sokongan kepada kerajaan.
PAS tetap teguh bersama Muhyiddin, PN

Ketika situasi politik negara penuh dengan tanda tanya, PAS bagaimanapun kekal tenang dan berdiri teguh di belakang Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu memandang serius perkembangan terkini kemelut politik yang sedang berlaku dalam kerajaan.
Bagaimanapun, jelasnya sebarang kenyataan mengenai pendirian PAS terhadap kemelut ini hanya akan dikeluarkan oleh Presiden Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan sahaja.
“Ketika ini, PAS menegaskan untuk terus mendukung kerajaan Perikatan Nasional dan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta bersama-sama memberi tumpuan bagi menangani penularan wabak Covid-19 melalui strategi Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang digerakkan kerajaan.
“PAS juga akan terus komited untuk membantu rakyat yang terkesan dalam menghadapi keadaan yang sukar ini.
“Justeru, diharapkan seluruh rakyat Malaysia bersabar dan memberikan kerjasama ke arah usaha menangani Covid-19,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, keabsahan majoriti kerajaan PN menjadi tanda tanya selepas Umno membuat keputusan menarik balik sokongan terhadap kerajaan dan Muhyiddin.
Sumber Sinar/Utusan/Mskini
